(Video) “Dah Nasib Kena Tinggal Sehelai Sepinggang Di R&R”

 

PETALING JAYA: Seorang lelaki melalui detik-detik cemas apabila terpaksa tinggal sehelai pinggang tanpa dokumen pengenalan diri, wang mahupun telefon bimbit.

Lebih tragis, bapa kepada tiga anak ini ‘ditinggalkan’ dua rakannya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Simpang Pulai, Perak, baru-baru ini sehingga tular di media sosial.

Bagaimanapun kisahnya mengundang kelucuan dan dijadikan bahan jenaka oleh kebanyakan netizen, tetapi tidak terkecuali ada yang turut bersimpati dengan insiden itu.


Paparan skrin rakaman video di R&R Simpang Pulai.

Mohd Shaheed Mohd Annuar, 33, berkata, ketika itu mereka dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas memancing di Royal Belum di Gerik, Perak, Isnin lalu.

Jelasnya, sepanjang perjalanan hanya dia seorang tidur di tempat duduk belakang dan kemudiannya bangun sebaik mereka berhenti di R&R berkenaan, kira-kira pukul 11 malam.

“Masa nak pergi ke tandas, seorang rakan dah keluar dari kereta dan seorang lagi dalam keadaan mamai sebab mengantuk. Lepas buang air kecil, saya kembali ke tempat letak kereta, tapi mereka dah tak ada.

“Ingatkan mereka bergurau pergi ‘parking’ kereta kat tempat lain sebab perangai mereka memang ‘gila-gila’. Tapi dah setengah jam masih tak jumpa. Sah kena tinggal! Habislah… dompet dan telefon bimbit pula tertinggal dalam kereta,” katanya ketika dihubungi mStar Online.


Mesej yang dihantar oleh isteri Shaheed bagi memaklumkan keadaan suaminya.

Tidak panik dengan keadaan yang menimpanya, jurutera di sebuah syarikat di Cyberjaya itu cuba mendapatkan bantuan orang awam di kawasan R&R berkenaan.

“Nak ‘call’ rakan saya tu pun tak ingat nombor telefon mereka. Yang ingat hanya nombor telefon isteri, saya cuba dapatkan bantuan untuk pinjamkan telefon.

“Sampai 10 orang saya tanya barulah ada yang sudi membantu. Isteri saya kemudian menghubungi rakan saya menerusi ‘Facebook Messenger’ untuk memaklumkan kepada rakan yang saya tertinggal.

“Dah nasib kena tinggal sehelai sepinggang dengan kawan-kawan yang ‘gila-gila’ kat R&R. Dua jam jugalah kena tunggu mereka datang balik,” katanya sambil menambah dia menganggapnya sebagai pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Mohd Shaheed turut cuba meminta bantuan daripada dua pemandu bas supaya menumpangkannya ke Kuala Lumpur tetapi permintaan itu tidak dilayan.


Mohd Shaheed terpaksa menunggu selama dua jam di R&R Simpang Pulai.

Sementara itu, salah seorang daripada dua rakannya, Khairul Amali Jamaludin, 35, menjelaskan bahawa insiden Mohd Shaheed ‘tertinggal’ itu memang tidak disengajakan.

“Sepanjang perjalanan Shaheed hanya tidur, sebelum tu pun kami dah berhenti di R&R lain, tetapi dia tak bangun pun. Dia seorang di belakang, jadi tak tahu bila pula dia pergi buang air.

“Kami tahu bila isterinya hantar mesej. Ingat nak ambil gambar dia tengah tidur dan hantar kat isterinya, sekali tengok tempat duduk belakang dia tak ada. Masa tu dah lepas Teluk Intan, jauh tu nak patah balik,” katanya secara berseloroh.

Khairul bersama seorang lagi rakan kemudian berpatah balik dari Sungkai untuk mengambil Mohd Shaheed yang tertinggal di R&R Simpang Pulai.

“Shaheed tunggu kami di stesen Petronas R&R. Sepanjang perjalanan balik, memang dia jadi ‘bahan gurau’… kami asyik ketawa.

“Sebagai ‘denda’ sebab dah jauh dah patah balik, dia kena ‘drive’ balik ke Kuala Lumpur. Jadi, lain kali janganlah tertinggal telefon dan yang penting jangan cepat terasa hati dengan kawan-kawan,” ujar Khairul.

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/01/25/kena-tinggal-kawan/#OzF3K2oeC2BszF7A.99
Video – wiki rakyat