Katerer pakej lebih RM13,000 cabut lari, keluarga pengantin terpaksa gadai barang kemas

Loading...

PETALING JAYA: Impian untuk bergelar raja sehari hampir berkecai apabila dikejutkan dengan khabar pihak katerer ‘cabut lari’ 24 jam sebelum majlis perkahwinan berlangsung.

Ketika itu dunia Nur Azidah Mat Ali, 23, dan pasangannya Muhammad Faris Kamil, 25, kelam seketika apabila menerima panggilan daripada seorang pembekal katerer yang memintanya datang ke balai polis pada Jumaat.

“Pemilik butik yang menjadi pembekal katerer itu memberitahu ada masalah besar dan minta saya segera ke balai polis.

“Di situ, baru saya tahu yang pemilik katerer dah lari dan ada beberapa pasangan lain juga tengah buat laporan polis,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Loading...

Nur Azidah dan pasangan tetap melangsungkan majlis perkahwinan seperti dirancang setelah mendapat katerer baharu.

Pasangan tersebut selamat diijabkabulkan di Jasin, Melaka pada pagi Sabtu dalam majlis yang sederhana.

Kata Nur Azidah, dia yang mengalami kerugian sebanyak RM7,708 terpaksa meminjam wang daripada keluarga untuk mencari katerer lain dalam tempoh 24 jam.

“Kakak saya sanggup gadai barang kemas untuk pastikan kenduri pada Sabtu tetap berlangsung seperti yang dirancang.

“Ahli keluarga lain turut meminjamkan duit untuk tampung bayaran kepada katerer baharu sebanyak RM11,000,” katanya yang terpaksa bersanding dengan keadaan mata bengkak akibat menangis.

Loading...

Siti Nurul Fatihah menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Shah Alam pada Jumaat.

Nasib Nur Azidah agak beruntung kerana membuat bayaran berasingan kepada pemilik butik pengantin berbanding membayar secara penuh kepada katerer tersebut.

Sementara itu, seorang bakal pengantin, Siti Nurul Fatihah Rozizan, 21, mungkin menjadi mangsa penipuan seterusnya apabila katerer sama menghilangkan diri selepas nasib yang menimpa beberapa pelanggan tular di media sosial.

Menurut Siti Nurul Fatihah, dia tidak menyangka katerer yang terkenal dan mempunyai banyak cawangan di beberapa negeri itu tergamak menganiayai pelanggan yang menggunakan khidmat mereka.

“Saya ambil pakej dengan mereka sebab ada dua saudara yang pernah menggunakan khidmat katerer itu dan semuanya berjalan lancar.

“Nampak mereka macam meyakinkan kerana ambil artis terkenal jadi duta. Walaupun pada mulanya rasa ragu-ragu sebab lokasi pejabatnya yang tersorok di Kampung Melayu Subang,” katanya kepada mStar Online.

Laporan polis yang dibuat oleh Siti Nurul Fatihah.

Siti Nurul Fatihah mendakwa, dia telah membuat bayaran penuh sebanyak RM13,240 kepada katerer terbabit untuk majlis yang akan diadakan pada November depan.

Pakej tersebut meliputi bayaran untuk makan pengantin dan tetamu, jurugambar, pelamin, peralatan dewan serta sistem pembesar suara.

Wanita tersebut yang menubuhkan grup WhatsApp ‘Mangsa M******* I*****’ dan disertai oleh 103 pasangan pengantin lain itu mendakwa, jumlah kerugian semua mangsa dianggarkan melebihi RM500,000.

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/10/07/katerer-tipu/#xMWIocvtFHEwQ7Wy.99

Loading...